Friday, December 9, 2011

Islam is Fun, Dakwah Kreatif

Salam mujahadah dan salam perjuangan, sudah lama juga blog ini sepi tanpa sebrang coretan, hari ni terdetik utk post sesuatu wlaupun bukan hsil tulisan sndri... =)

Ini Hikayat Chenta Agung

[Nota 1: Artikel ini sumpah tidak sesuai untuk bacaan anda yang berumur 19 tahun ke bawah. Jangan bilang saya tidak memberi amaran!

Nota 2: Untuk artikel ini, saya akan menggantikan kata ganti nama diri yang pertama 'saya' kepada 'aku.' Jangan banyak tanya kenapa sekian.]

Buat kekasih hatiku, D.

D, kau ingat tak saat dan detik pertama kita bertemu? Aku kenal kau sejak di bangku sekolah lagi. Kau ingat tak D...?

Ketika itu kau masih malu-malu lagi dengan aku. Kau hanya melihat aku dari jauh. Sekali-sekala kau tegur aku. Jarang-jarang kau berani untuk menyapa aku. Ketika itu aku sudah mula suka padamu. Aku cuba untuk memahami dirimu. Aku cuba untuk mendekatimu. Tapi ah! Aku masih kebudak-budakan ketika itu D! Aku tidak faham apa yang kau nak daripada diriku ini! Aku bermain-main dengan perhatian yang kau berikan.

Tapi kau hebat. Kau tidak marah pada aku. Kau tidak berputus-asa dengan aku. Malah tidak pernah terdetik pada hati kau untuk pergi meninggalkan aku. Walaupun aku tidak pernah beri perhatian serius pada kau ketika itu, tetapi kau tidak pernah kisah. Kau memang kekasih sejati, D.

Kemudian habis sekolah menengah, aku ke kolej persediaan pula. Kau masih nak ekori aku D. Aku pun tak faham kenapa. Di tahun pertama, hubungan kita tampaknya semakin rapat. Aku sudah mula berani untuk mendekati kau. Kau pun apa kurangnya, memberi respon yang boleh tahan menggembirakan aku. Malah rakan-rakan di sekeliling juga tumpang gembira, memberi galakan untuk aku mendekati kau D. Ah betapa bahagianya aku ketika itu! Hubungan kita direstui oleh sahabat-sahabat rapatku!

Tetapi masuk tahun kedua, entah mengapa. Aku sudah mula rimas. Datang pula orang ketiga, yang menjarakkan hubungan kita. Masa, tenaga dan perasaan aku banyak curahkan dan habiskan untuknya. Aku semakin jauh daripada kau D. Dan kau juga, seperti merajuk dan memahami, juga mula menjauhkan diri kau daripada aku. Ah sehingga kini sekali pun, setiap kali aku memikirkannya, aku terasa begitu malu D. Bergenang air mata aku setiap kali memori itu melintas di kepalaku. Tergamak aku melakukannya kepadamu D!

Malah di satu ketika, aku merasakan aku begitu jauh daripada dirimu D. Aku lupa terus pada dirimu. Seolah-olah kita tidak pernah punya hubungan sebelum ini. Sepertinya aku tidak pernah mengenali dirimu. Dan aku terus hanyut dibuai asmara. Aku terus larut di dalam dosa dan noda. Dan kau makin menjauhkan diri daripada aku.

D, sehingga ke hari ini, setiap kali ingatan itu datang menghantui diri, aku merasa begitu sesal sekali. Wahai, seandainya kau mengenali diri ini D, sudah tentu kau tahu yang betapa aku mahu sekali kembali ke masa itu; menebus kembali kesilapan yang telah aku lakukan pada dirimu D. Dan aku tahu yang kau tahu.

Mujurlah kau masih tidak mahu berputus-asa dengan diriku. Ya, entah mengapa, aku juga pelik dan hairan dengannya. Setiap kali aku berfikir tentangnya, aku begitu bersyukur. Sementelah segala apa yang telah aku lakukan pada dirimu D, kau tidak pernah mengalah. Kau tidak pernah erti apa itu lelah.

Setelah apa yang terjadi, aku membawa diriku ke Kota London. Di sana, aku diberi peluang sekali lagi untuk memperbaiki hubungan kita D. Di sana, baharulah aku benar-benar berpeluang untuk mengenali dirimu dengan lebih mendalam.

Pada mulanya, aku buat tak endah sahaja. Ya, kau datang beberapa kali mengetuk pintuku. Kau berusaha untuk memikat hatiku. Ketika itu aku cuba-cuba juga untuk melarikan diri daripada kau D. Yalah, setelah apa yang aku perbuat pada kau di kolej dahulu, aku berasa begitu malu untuk berhadapan dengan kau. Aku merasakan diriku tidak layak untuk mendambakan cintamu.

Namun kau terus berusaha. Putus-asa tidak pernah termaktub di dalam usahamu memikat diriku. Semakin aku cuba lari daripada kau, semakin itu juga kau kuat datang kepadaku. Wah D, boleh buat hipotesis kan hubungan kita ketika itu..? Hahaha.. Kau tidak pernah bosan dengan diriku ini ya D?

Ya, aku mengaku, keinginan dalaman diriku untuk merawat kembali hati yang terluka juga menjadi penyebab mengapa aku akhirnya jatuh ke dalam dakapanmu. Sokongan, galakan dan nasihat yang diberikan oleh rakan-rakan juga menjadikan hubungan kita bertambah erat, semakin istimewa.

Di tahun satu, kau masih gagal untuk menambat hatiku. Ada masa-masanya aku berpura-pura seolah-olah aku sudah jati hati pada kau D. Tetapi hakikatnya, hati aku masih belum benar-benar cair dengan godaaan kau. Hati aku masih tertaut kuat dengan memori-memori jahiliyyah aku yang lampau.

Tetapi kau akhirnya berjaya di tahun kedua. Berkat kesabaran dan kesungguhan kau, aku akhirnya terjelepok di kaki kau D. Entah jampi serapah apa yang kau pakai, aku akhirnya akur, tunduk di bawah telunjuk kau..!

Pada mulanya aku memberontak juga. Aku merasakan diriku terkongkong dengan pujukan dan desakan kau. Aku keliru mengapa kau begitu bersungguh-sungguh mahu aku mendampingi dirimu. Tetapi lama-kelamaan, aku sudah mula faham dengan kehendakmu. Aku sudah boleh mengerti mengapa kau beriya-iya menggoda dan memujukku.

Dah ah, akhirnya aku terpikat! Akhirnya aku terjerat! Panahan cintamu cukup membara dan mendalam D! Aku tak boleh lari!

Dan melalui pelbagai program dan aktiviti yang mempertemukan kita bersama, aku semakin rapat denganmu. Aku semakin mahu mengenali dirimu dengan lebih serius lagi. Tapi kau bijak D, kau main tarik tali dengan aku ya..? Kau mahu balas dendam agaknya?

Kini giliran aku pula mengejari dirimu. Dan kau buat malu-malu kucheng pula ya..? Tapi aku tidak berputus-asa. Aku tidak mengalah D! Walau berbagai-bagai cabaran yang datang dalam bermaca rupa, yang cuba menghalang hubungan kita, aku tekad! Aku berazam! kau pasti menjadi milikku!

Dan berkat kesabaran, kecekalan dan kesungguhan aku, akhirnya usaha suci ku ini berbalas. Tidaklah aku terasa seperti "Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong!" Alangkah indahnya D, di saat aku mendakap erat dirimu. Alangkah segarnya jiwaku di saat aku dapat merangkul mesra kasih sayang ini. Dan yang lebih menggugar jiwa ragaku, adalah apabila kau tersenyum mesra, menyambut dengan penuh kasih-sayang diriku ini! Wahai!

Dan kerana kau D, makanku tak kenyang, tidurku tak lena dan kadang-kadang bukan setakat mandiku tak basah, nak mandi pun aku tidak berkesempatan! Semuanya semata-mata kerana mahu bersama dirimu setiap masa. Hebat sungguh penanganmu D! Tapi demi dirimu, lautan api sanggup aku renangi, gunung tinggi sanggup aku daki dan apa-apa sahaja cabaran sanggup aku harungi.. Semuanya kerana kau D! Semuanya kerana tidak mahu ketinggalan olehmu D! Kau tahu...??

Alhamdulillah, sehingga kini kita masih berhubungan mesra. Ya, aku tahu, kadang-kadang kita bertelagah juga. Bukan sedikit kita bercakaran. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula hubungan seperti kita ini, kan D? Bak kata omputih, hubungan cinta-benci! Tapi aku tahu, inikan bukan alasan untuk aku memutuskan perhubungan ini. Aku tahu, memutuskan hubungan ini beerti aku sudah berputus-asa dengan dirimu.

Semenjak aku mula rapat denganmu, mula serius dan bersungguh dengan perhubungan ini, sudah banyak perubahan baik yang aku dapati pada diriku D. Lebih tersusun urusanku, aku lebih bijak membahagi masa, aku menjadi lebih penyabar, aku tidak lagi kedekut seperti dahulu... Dan macam-macam lagi sifat terpuji yang tersemai dalam diriku, semuanya kerana pergaulan aku denganmu. Terima kasih D!

Aku berjanji pada diriku, sehingga hayat dikandung badan, aku akan terus setia bersamamu D. Tatkala Izrail datang mencabut nyawaku nanti, aku berharap ketika itu seluruh hati dan jiwa ragaku masih setia dan kasih pada dirimu. Dan aku juga berharap, kau tidak akan lari pergi meninggalkan aku. Aku sedar, kau berhak mendapatkan seseorang yang jauh lebih baik daripada diriku. Begitu banyak dosa dan kesalahan yang telah aku lakukan pada dirimu. Bukan sedikit aku mengecewakanmu. Maafkan aku D, maafkan aku.... Jangan sesekali pergi meninggalkan aku..!


Aku meraba-raba, mencari-cari cintamu, D, padahal kau selama ini berada di depan mata! [Kredit]

Kini aku faham dan sedar D, selama ini kau tidak pernah mengejarku. Kau tidak pernah memerlukan aku, walau sesaat cuma. Selama ini, aku yang mendambakan cintamu. Akulah yang memerlukanmu D. Terima kasih D, kerana sudi menerima diriku yang seadanya...

D, izinkan aku untuk membuat pengakuan ikhlas lagi tulus. Kau sudah bersedia untuk mendengarnya..?

Aku sudah jatuh chenta padamu, D-akwah...! Sepenuh dan sesungguh hati! Sumpah..! Semoga Allah merestui perhubungan ini!

Coretan ini hasil tulisan seorg ikhwah, link http://angelwearsgucci.blogspot.com/

Islam itu amat indah jika kita memahaminya dan Islam is the way of live... jom sama2 kita sumbagkan sesuatu kpd Islam tanda cinta kita kekasih kita, ALLAH SWT...

No comments:

Post a Comment